Awal hidup Emmeline Pankhurst

Menurut catatan rasmi jabatan pendaftaran Lancashire, Emiline Goulden lahir pada 15 Julai 1858 di Moss Side luar Bandar Raya Manchester.[3] Beliau anak perempuan kelima daripada sepuluh adik beradik. Keluarga Goulden banyak terlibat dalam hal politik setempat mereka sepanjang berzaman. Ibunya, Sophia Goulden berasal dari Pulau Man - pulau tersebut merupakan negeri pertama yang membenarkan wanita mengundi dalam pilihan raya kebangsaan thaun 1881[4][5] - manakala ayahnya Robert Goulden seorang saudagar dari Manchester: ibu Robert terlibat dalam suatu liga memperjuangkan penghapusan suatu Undang-Undang Bijirin (Corn Law) mencukai gandum import yang menindas golongan pekerja kilang manakala ayahnya merupakan saksi dalam suatu pembunuhan beramai-ramai dilakukan pengawal berkuda diraja di Dataran St Peter, Manchester terhadap orang ramai yang menunjuk perasaan memperjuangkan reformasi parlimen setelah kesulitan berikutan Perang Napoleon.[6]

Keluarganya berpindah ke bandar Seedley, Salford beberapa lama setelah dia dilahirkan. Di sana, Robert Goulden terlibat tidak sahaja menjalankan suatu perniagaan kecil tetapi juga terlibat sebagai seorang pegawai majlis bandar raya serta sebagai seorang penggiat seni panggung teater; beliau memiliki sebuah teater di sana di mana beliau memainkan peranan watak utama dalam pementasan karya William Shakespeare. Emiline terdedah dengan kegiatan dilakukan ayahnya ini sehingga menerapkan sebahagian unsur untuk tujuan pidato aktivismenya.[7]